Salam Ramadhan al-Mubarak buat semua umat Islam di seluruh dunia terutama ahli keluarga saya yang tercinta serta tidak dilupakan sahabat handai yang jauh di mata namun dekat di hati. (slamat berpuasa juga buat kema-kema di bilik bawah yang baru sahaja membaca blog saya malam ini). Bulan yang penuh dengan kemuliaan dan paling dinanti-nantikan oleh semua umat Islam. Alhamdulillah esok umat Islam di Malaysia akan menjalani ibadah puasa hari pertama. Sedih dan sedikit terkilan kerana tidak dapat memulakan hari pertama berpuasa pada tahun ini dengan keluarga. Namun, apa yang paling dinanti-nantikan oleh saya ialah kepulangan saya pada tahun ini untuk sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta setelah dua tahun beraya di perantauan. Suasana berpuasa dan beraya di perantauan sememangnya berbeza terutama segi makanan untuk berbuka puasa dan bersahur. Kalau di rumah semua makanan akan disediakan oleh bonda. Saya dan dua orang kakak hanya membantu sedikit sebanyak. Bila berjauhan semua makanan untuk sahur dan berbuka ada yang dibeli dari bazar Ramadhan dan ada juga yang curi-curi masak di asrama. Apa yang seronoknya di Sabah ialah sambutan Hari Raya Aidilfitrinya sangat meriah. Rumah terbuka boleh didapati di sekitar Kota Kinabalu ini. Di kampung-kampung pula meriah dengan nyalaan-nyalaan pelita dan kanak-kanak bermain bunga api. Pernah saya dan kawan-kawan beraya bagai nak rak sanggup menyewa kereta untuk pergi beraya di rumah kawan-kawan yang tinggal di Sabah. Walaupun penat beraya dari rumah ke rumah namun kegembiraan dan kepuasan dapat mengenali tempat-tempat menarik di Sabah ini sukar untuk dilupakan. Kemeriahan berhari raya di Sabah mungkin dapat melupakan kesedihan tidak berada di samping keluarga tercinta namun dari segi makanan dan kuih-muih rasanya kampung halaman masih lagi tidak dapat ditandingi. Kehadiran bulan Ramadhan pada tahun ini mungkin sedikit berbeza dari tahun-tahun yang sebelumnya. Mungkin kerana tahun ini merupakan tahun akhir saya di bumi UMS ini. Sebenarnya banyak perkara yang telah berlaku pada diri saya sepanjang liku-liku hidup sebagai seorang anak dan seorang mahasiswa. Secara tidak langsung sedikit sebanyak membantu diri saya ini untuk menjadi lebih matang dan bertanggungjawab kepada diri saya sendiri dan keluarga. Walaupun berada jauh daripada keluarga, saya bersyukur kerana dikelilingi sahabat-sahabat yang baik dan dapat berkongsi masalah serta kesedihan. Semoga Ramadhan kali ini dapat memberi hidayah dan keberkatan kepada diri saya serta insan-insan yang saya sayangi dan kasihi. Mungkin Ramadhan kali ini dapat menjadikan diri kita lebih baik seterusnya menjadi seorang muslim dan muslimah yang sejati.
Sesungguhnya Islam itu indah,hayatilah Islam itu tanpa lengah-lengah. Carilah kenikmatan beribadah, kerana dengan ibadah itulah membentuk iman yang kukuh buat perisai dan benteng nikmat keduniaan yang mampu menghancurkan akidah seorang insan bergelar manusia.
Salam Ramadhan al-Mubarak. Wassalam.
Sesungguhnya Islam itu indah,hayatilah Islam itu tanpa lengah-lengah. Carilah kenikmatan beribadah, kerana dengan ibadah itulah membentuk iman yang kukuh buat perisai dan benteng nikmat keduniaan yang mampu menghancurkan akidah seorang insan bergelar manusia.
Salam Ramadhan al-Mubarak. Wassalam.
0 comments:
Post a Comment