BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, May 31, 2009

Kekeliruan Remaja?

Masalah tekanan atau stress sering dialami oleh golongan muda mahupun tua. Stress yang paling teruk pernah dialami oleh saya ialah ketika di sekolah menengah. Mungkin tidak ramai ibu bapa yang tahu bahawa anak-anak terutama remaja sangat mudah terjurus kepada masalah juvana terutama remaja lelaki. Mujurlah se ‘stress-stress’ saya pun saya masih lagi dapat berfikir dengan waras. Alhamdulillah dengan didikan ayahanda yang sangat tegas dan didikan agama dari bonda tercinta menjadikan diri saya sekarang. Sejujurnya pada awal remaja (sekolah rendah), saya tersangatlah nakal sehingga tengkingan dan jeritan maut, libasan rotan sudah menjadi perkara biasa di awal darjah 1( ingat lagi ayahanda berkata..umur 6 tahun dah boleh kena rotan). Saya pernah terjun tingkap bilik untuk cuba lari dari rumah (pergi umah atuk depan rumah saja). Mungkin itulah yang dialami oleh remaja-remaja masa kini terutama yang tinggal di bandar dan tidak pernah mengalami kesusahan dan keperitan hidup. Bila ada masalah sedikit terus pergi ke tempat-tempat hiburan. Mencuba perkara-perkara baru. Kalau perkara baru yang positif tidak mengapa, ini tidak. Hasilnya, kita boleh lihat remaja-remaja sekarang sering dilihat merokok, berseronok di pusat-pusat hiburan (clubbing), minum (alcoholic drinks), terlibat dengan drugs dan banyak lagi. Ibu bapa sememangnya harus berwaspada dengan anak-anak yang berada di institusi pengajian tinggi. Lagi jauh mereka dari ibu bapa lagi seronoklah mereka. Pulang ke rumah depan ibu bapa, pijak semut pun tak mati.



Jiwa remaja sememangnya sentiasa penuh dengan duka dan lara. Makin ditekan, makin ditolak. Makin dirapati, makin dijauhi. Makin disayangi, makin dibenci. Pada siapa harus kita menuding jari? Kebanyakan ibu bapa kadang-kadang tak mengerti. Pada mereka, anak-anak tak kan faham masalah mereka. Kadang-kadang mereka ingat mereka faham dengan masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka tapi sebenarnya langsung tidak. Siapa yang menderita? Anak-anak juga. Ada ibu bapa yang tak mengerti. Salahkan guru di sekolah. Tidak pandai mengajar anak-anak mereka. Haruslah ingat di mana mereka sebelum mereka ke sekolah kalau bukan di rumah? Anak-anak juga kenalah ingat dan sentiasa ingat. Kadang-kadang ayah dan ibu bukan sengaja untuk melupakan kita. Hanya sibuk untuk mencari rezeki. Buat siapa lagi kalau bukan untuk kita. Cubalah kita hargai dan fahami apa maksud mencari rezeki kerana kita juga bakal menjadi dewasa dan memasuki alam pekerjaan seterusnya berkeluarga dan menjadi ibu bapa. Apa yang kita lakukan pada hari ini akan dilakukan oleh anak-anak kita kelak. Dunia ini sememangnya ibarat roda yang berpusing. Siapa yang berada di atas akan berada di bawah dan yang di bawah akan berada di atas.



Pergolakan jiwa, kekeliruan dalam kehidupan dan tekanan perasaan merupakan perkara biasa yang akan dirasai oleh golongan remaja. Cara penyelesaiannya terserah pada diri sendiri. Jika ada yang bernasib baik, adalah insan-insan yang baik hati turut sama menolong. Yang tidak bernasib baik pula terjerumus dengan perkara-perkara negatif yang boleh membawa kepada kehancuran masa depan dan keselesaan yang hanya sementara. Cubalah yakin pada diri sendiri bukannya hanya mendengar suara hati yang kadang-kadang tidak membawa erti. Mungkin ada yang pernah berkata, waktu muda waktu untuk enjoy, bila dah tua nanti barulah buat ibadah. Ceteknya pemikiran insan yang pernah melafazkan kata-kata ini. Jika engkau cuba untuk membunuh diri sekalipun dan ALLAH mengatakan bahawa ajalmu belum tiba lagi maka nyawa itu masih lagi di badanmu. Namun jika engkau sukakan kehidupan dan tidak mahu mati maka itu juga tidak boleh ditentukan oleh dirimu kerana nyawa itu milik ALLAH. Boleh jadi hari ini, saat ini kita didatangi ajal walaupun diri masih lagi tidak bersedia. Oleh itu, buatlah ibadah seolah-olah esok sudah tiada dan bekerjalah bersungguh-sungguh seolah-olah kita hidup untuk selama-lamanya Tidakkah engkau mengerti bahawa maut itu boleh jadi datangnya bila-bila masa sahaja.




Islam bukan sahaja terletak pada IC tetapi hati dan nurani. Cubalah mendekati dan melaksanakan ibadah yang wajib dibuat setiap hari. Buat keluarga dan sahabat handai, kalian juga cubalah mengerti. Bukan hanya tahu memarahi dan menyakiti. Setiap yang bernyawa mempunyai hati dan perasaan. Apa salahnya kita saling memaafkan. Siapalah kita untuk mengadili sebuah kehidupan kerana itu hak peribadi dan ALLAH sahaja yang berhak mengadilinya. Menasihati dan mengingati boleh, memaksa jangan sekali. Remaja yang bijak adalah remaja yang memilih ALLAH sebagai cara penyelesaiannya. Pabila datang marahnya, dia akan mengambil wuduk dan melakukan solat sunat. Solat lima waktunya dijaga dengan baik supaya dirinya diajar untuk menepati waktu dan lebih berdisiplin. Bacaan al-Quran dijadikan amalan seharian untuk peringatan dan panduan dalam kehidupan sehari-harian. Ibadah sunat dilakukan buat mengisi kekosongan supaya diri tahan dengan dugaan dan cabaran yang kadang-kadang tak jemu-jemu bertandang.



Susahnya hendak melakukan kebaikan dan senangnya melakukan kejahatan. Susah-susah dahulu senang-senang kemudian. Hidup ini hanya sekali. Selepas hidup pasti datangnya mati. Percayalah adanya neraka dan syurga. Dunia hanyalah transit sementara. Saya bukanlah orang yang bijak pandai atau cuba untuk memandai-mandai. Belajar itu sudah menjadi keutamaan dalam hidup saya. Jika ada yang salah maka tegur-tegurlah. Inilah saya seadanya. Seorang insan yang bergelar manusia. Kadang-kadang sentiasa lalai dan lupa. Terima kasih untuk segalanya dan mohon maaf andai ada yang terkasar bahasa. Salam.



Sunday, May 24, 2009

Main Hati

Sakitnya hati bila dilukai oleh insan yang kita sayangi. Bahkan kalau digigit oleh kucing kesayangan pun ada yang menangis. Menangis bukan kerana kesakitan tetapi terkilan dengan sikap kucing kesayangan itu. Walaupun kita tahu hakikatnya kucing yang disayangi itu merupakan seekor binatang dan bukannya manusia serta kemungkinan untuk menggigit adalah tinggi. Seperti manusia juga, mungkin ada yang ditinggalkan teman lelaki yang memberi alasan kita terlalu baik untuknya. Terimalah seadanya bahawa – bahawa lelaki itu jahat! Jangan cuba untuk mengubah fakta dengan mengatakan kita yang bersalah dan terlalu banyak kelemahan sehingga si dia meninggalkan kita! Menangislah sepuas hati bukan untuk lelaki jahat itu tetapi kebodohan kita dalam mempercayai dan menyayangi insan jahat itu! Apa tidaknya? Kenapa memberi alasan kita terlalu baik buatnya? Mengapa tidak berterus terang? Setidak-tidaknya jujurlah pada diri sendiri dan orang yang pernah menyayangi anda wahai lelaki-lelaki yang tidak pandai bersyukur!


Lelaki memang pandai berkata-kata. Manis pula berbicara. Terimalah seadanya. Tidak percaya ? Tanyalah diri sendiri yang pernah bercinta dan ditinggalkan. Apa janji-janji manis yang pernah dileburkan dalam volcano cinta anda berdua suatu ketika dahulu ? Apa hasilnya ? Hanya asap-asap dan debu-debu beracun yang mampu membunuh seorang insan bergelar manusia apatah lagi hati seorang wanita. Mengakulah wahai lelaki-lelaki yang pernah bercinta dan lari dengan alasan-alasan yang tak munasabah, bak kata pepatah – habis madu sepah dibuang ! Itulah lelaki, yang manis mahu, yang masam, pahit, masin, pedas tak mahu. Katanya wanita banyak songeh, terlalu memilih atau jual mahal. Padahal menatang dulang, paku serpih, mengata orang dia yang lebih!


Tak usahlah membela diri dengan berkata “Dia tu memang playgirl, suka mainkan hati lelaki. Padanlah dengan muka dia..”. Maka apa kata wanita pula? Membalas dendam kerana hatinya pernah dipermainkan oleh seorang lelaki. Dia mencintai sepenuh hati namun si dia mencintai tak sampai sekerat hati. Apa yang nak dikatakan lagi ? Satu jari menuding, empat jari lagi kembali menuding kepada diri kita sendiri. Ini bukan kisah peribadi diri sendiri. Sekadar pemerhati dan pendengar yang baik hati. Tak mahu simpan untuk diri sendiri. Untuk dijadikan panduan buat wanita-wanita mahupun laki-laki. Jangan suka-suka nak main hati. Nanti ada pula yang sakit hati sampai sanggup nak bunuh diri (nauzubillah..minta jauhlaa kan). Cinta itu sesuatu yang suci. Mulakannya dengan niat yang murni. Suburkannya dengan budi pekerti dan saling memahami. Buat yang tiada lagi janganlah dirisaui. Sampai masanya anda akan jumpa juga dengan si dia yang anda dan dia saling sukai sepenuh hati. Ingatlah satu perkara sebelum saya mengundurkan diri. Janganlah terlalu membenci kerana boleh jadi dialah yang akan kita cintai. Jangan pula terlalu mencintai kerana boleh jadi dialah yang akan kita benci. Salam.





Sunday, May 10, 2009

Pulau Tiga

Salam ukhwah buat sahabat-sahabat serta pembaca yang dikasihi. Kesibukan dalam menghadapi final exam dan penyiapan disertasi menyebabkan blog saya ini sedikit terabai. Hari ini saya terbuka hati untuk menulis mengenai percutian saya bersama sahabat-sahabat saya di Pulau Tiga selama 2 hari 1 malam. Walaupun singkat sahaja percutian kami namun kenangan manis dan pahit akan saya ingati sampai bila-bila.

Apa yang membuatkan saya tertarik hati dengan Pulau Tiga ini adalah keindahan semula jadi yang amatlah memukau mata sesiapa sahaja yang menjadi pengunjung Pulau Tiga ini. Saya berpeluang melihat batu karang serta ikan-ikan kecil yang berwarna warni. Mandi lumpur di mud volcano merupakan salah satu daripada keunikan di Pulau Tiga ini. Walaupun seronok bermain air dan menyelam menggunakan life jacket namun apa yang menghampakan saya ialah pulang tanpa kemahiran berenang. Saya hanya dapat terapung..hehehehe. Minum air garam free usahlah dikira berapa kali..hehehe. Di sini saya paparkan beberapa keping gambar pemandangan dan kawasan di sekitar Pulau Tiga sambil cuba untuk menjadi nature photographer ;p . Mungkin dengan melihat gambar-gambar ini anda akan tertarik untuk melawat Pulau Tiga yang hanya memerlukan masa lebih kurang 1 jam dari jeti Kuala Penyu.