BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, September 24, 2010

Danaunya di Langit ..

I

Danaunya di langit,
aku membawa nestapa pedih ibu jadam
yang menulari planet dan gugus bintang,
kelam dan samar..
Mataku menatap kelabu yang abu-abu,
kini mata air meluncur dahsyat,
hatiku tersayat pabila lidah ibuku
digewangi pedang mata tujuh puluh tujuh,
pukau apa memukau gembala sepulau,
danaunya di langit,
kini menggeliur air terjun jiwa yang remuk..

II

Adapun kilat yang membelah senja membelah
lindap kasih petualang,
apakah gerangan cinta hanya melekat sebentar di bibir,
danaunya di langit dan kini sengit dalam tamadun
separuh jadi..
"Adakah gila bagimu tuan, bahasa tak mengenal bangsa?"
Hai, hai si anak sudah tak merasakan harum kasturi
nenek moyangnya, cinta tak berbekas, hanya pandangku
remuk redam..

III

Dan mukjizat, doa habaib
danaunya di langit pertama,
kata dan kata yang bersatu,
ayat dan ayat yang terjalin dalam
rangkaian hikayat dan rubaiyyat,
syair dan pantun, seloka dan talibun.

Danaunya di langit,
dan ada gerimis yang kelak menjadi badai
dan taufan mengamuk,
merongrong tonggak adab,
nescaya firasat bulan dan pandang mata
menjebak sejarah
"siapa yang biadap pada rohnya?"

Danaunya di langit, danaunya, danau!


*dipetik dari keratan akhbar ketika Form 3. Penulis dikenali dengan nama Kemala.
Ada maksud tersirat dan terselirat. Maaf tidak tersurat kerna sengaja supaya hati yang suka bermain kata yang membaca pening. Dan moga hati yang serius dengan kehidupannya sahaja yang faham dan tidak alpa bahawa kau adalah kau..aku adalah aku..mereka adalah mereka..dia adalah dia..(erk..aku pun pening)

0 comments: