BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, August 21, 2009

No Respect for Non-respecter!

Hati seseorang insan itu tidak dapat diduga sama sekali namun hitam putihnya dapat dikenali melalui butir percakapan mahupun gaya yang dipamerkan (physical appearance). Kali ini dan sekali lagi saya sangat dukacita apabila mendengar perkataan ‘bodoh’ ditujukan kepada saya. Sangat menyeksakan hati dan perasaan apabila mendengar perkataan itu apatah lagi bukan hanya ‘bodoh’ yang dilemparkan kepada saya tetapi ‘buta’ dan sebagainya (malas nak ungkit balik..buat sakit hati aku je). Kisah yang sama namun berlainan situasi. Sebuah kisah mengenai budaya menghormati di kalangan golongan tua dan muda. Banyak juga cerita yang saya dengar dari calon-calon yang mengambil ujian memandu mengenai pegawai JPJ memarahi mereka atau rakan mereka dengan perkataan ‘bodoh’, ‘buta’, membawa kereta dengan halaju yang terlalu ‘slow’ membuatkan mereka fade up dan sebagainya. Namun saya difahamkan pegawai JPJ atau sebagai penilai tidak boleh bercakap dengan calon. Mereka hanya boleh mengarahkan jalan mana yang harus ditujui dan membuat penilaian mereka berdasarkan cara pemanduan calon sepanjang perjalanan dan pemanduan tersebut.

Sesungguhnya pegawai JPJ atau penilai adalah manusia bukannya robot. Maka mereka mempunyai keinginan untuk bercakap atau berkomunikasi dengan calon. Tidak salah rasanya jika penilai ini bercakap dengan calon kerana komunikasi dapat membantu calon untuk bertenang dan tidak gugup sepanjang ujian pemanduan. Namun ketenangan itu hanya dapat diperolehi jika komunikasi positif yang berlaku. Jika komunikasi negatif yang berlaku maka masalah seperti gangguan emosi semasa memandu boleh menyebabkan kesan yang negatif juga kepada hasil pemanduan calon. Saya hanya tersenyum mendengar cerita mengenai komunikasi negatif yang berlaku kepada calon-calon di akademi memandu tersebut sambil hati saya berkata – “biaselah tu..”. Tetapi apabila terjadi kepada diri saya sendiri barulah saya memahami perasaan yang dialami oleh semua calon tersebut.

Sememangnya penilai tidak wajar berkata sedemikian. Mungkin juga kami bodoh dalam pemanduan tetapi layakkah mereka memanggil kami bodoh sedangkan selama ini bukannya mereka yang mengajar kami memandu. Hmmm..mungkin juga bodoh itu ditujukan kepada guru-guru yang mengajar kami memandu? Siapa tahu? Buta? Mungkin juga kami buta tetapi sangatlah ajaib kerana kami masih lagi mampu memandu dengan membawa mereka bersama duduk di sebelah menilai dari awal hingga akhir dengan selamat tanpa ada luka secara fizikal mahupun mental. Sebaliknya kami yang mengalami kelukaan dalaman kerana terpaksa bersabar menahan segala cemuhan yang dilemparkan. Tidak semua penilai begitu namun pernahkah anda mendengar peribahasa ini- “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga” atau “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa”. Seperti yang saya katakan tadi penilai bukannya robot tetapi manusia yang ada hadnya. Mungkin penilai kepenatan kerana terpaksa menilai ramai calon dan mungkin juga kelaparan, namun tidakkah penilai terfikir calon juga manusia bukannya robot. Mungkin ada calon yang tidak sempat bersarapan atau kepenatan terpaksa menunggu dengan lamanya giliran mereka tambahan pula perasaan gugup dan rungsing bermain di fikiran mereka –lulus atau gagalkah mereka? Dan inilah yang saya ingin sampaikan iaitu budaya hormat menghormati serta saling memahami.

Adakah usia yang jauh lebih tua, berkerjaya dan berpengalaman membuatkan mereka mengeluarkan kata-kata bodoh, buta dan sebagainya? Sesungguhnya kami golongan muda amat mengalu-alukan teguran dari golongan ini namun tidak susah dan sukar rasanya jika golongan yang berpengalaman ini melakukan teguran itu dengan cara berhemah kan? Seorang guru yang saya kenali pernah memberikan ucapan ini kepada kami semasa di sekolah menengah dahulu – “when I am meeting with someone new I will show them my respect but if they show me no respect then I will give them no respect at all…” Sehingga hari ini saya masih lagi bersetuju dengan prinsip yang dipegang oleh guru tersebut. Semasa ujian pemanduan itu berlangsung saya hanya mendiamkan diri dan memohon maaf apabila penilai itu mengeluarkan perkataan bodoh, buta dan sebagainya (I already show my respect). Oleh kerana penilai itu terus mencemuh dan menghina diri saya walaupun selepas saya memohon maaf maka tindakan saya membuat aduan kepada pihak yang sepatutnya merupakan perkara yang sangatlah wajar(no respect for non-respecter right?). Semoga kisah ini dapat memberi pedoman kepada sahabat-sahabat pembaca yang saya hormati sekalian. Sekadar untuk mengingatkan diri bahawa dunia ini bukan hanya kita seorang diri tetapi ramai lagi. Maka hormat menghormatilah sesama sendiri dan saling memahami kerana hidup ini hanyalah sekali. Tiada yang sempurna di dunia ini kerana sebijak-bijak mana manusia pun ada juga perkara yang masih golongan bijak pandai tidak ketahui. Wassalam.

1 comments:

QZ / KZT said...

salam...ramai je manusia tak reti hormat orang lain..kadang2 kita sendiri pun tak sedar tindakan kita ada yang nampak macam 'tak respek' gak..papepun, janganlah kita jadik macam mereka, dan mohon perlindungan dariNya supaya tak jadik orang kurang ajar selalu, dan terhindar dari sifat mazmumah lain, supaya sentiasa perbaiki hati kita yang gelap ni..

etc etc etc..

wassalam ^^