BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, January 28, 2009

Kemahiran Menghadapi Kegagalan Dalam Peperiksaan Bab 1

Tragedi pengeboman yang dilakukan oleh Inggeris ke atas Bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun sekitar tahun 1945 meninggalkan kesan yang mendalam ke atas rakyat negara itu. Seluruh dunia menangisi nasib yang menimpa negara Jepun itu. Seluruh Bandar Hiroshima dan Nagasaki musnah bagaikan padang jarak padang tekukur. Sana sini mayat bergelimpangan dan keseluruhan bangunan di tempat itu musnah sama sekali. Hanya yang mengalami peristiwa itu tahu betapa seksanya penderitaan yang ditanggung. Dengan pengeboman itu juga menyebabkan Jepun mengalami kekalahan teruk dalam peperangan itu.


Walaupun peristiwa itu sentiasa dikenang sebagai detik kegagalan Jepun, namun demikian sekarang ini Jepun bangun untuk bersaing dengan negara maju yang lain dan kini Jepun adalah technology leader dalam pengeluaran pelbagai produk seperti optik, semikonduktor, bahan-bahan komposit, peralatan-peralatan mesin serta keperluan komputer dan sebagainya. Kejayaan negara Jepun dalam mempertingkatkan ekonomi sehingga menjadi salah sebuah negara maju selepas musnah akibat perang dunia kedua adalah salah satu contoh sekali gagal bukan bererti gagal untuk selama-lamanya.


Di sebalik kegagalan ada rahmat yang tersembunyi, kerana disebabkan kegagalan yang menimpa menyebabkan seseorang itu cuba mengamalkan beberapa sifat positif seperti berfikiran kreatif dan kritis bagi mencari kelemahan yang menyebabkan kegagalan, menyedari kekurangan diri serta mencari jalan memperbaikinya dan daripada kegagalan membuka peluang kepadanya untuk bertemu bidang realiti hidupnya.


Setiap insan tidak dapat lari daripada menemui kegagalan. Begitu juga dengan para pelajar. Kebiasaannya ukuran kegagalan pelajar adalah pada keputusan peperiksaan. Memandangkan tidak mustahil kita terpaksa menghadapi kegagalan dalam peperiksaan, persoalannya bagaimana kita ingin meneruskan hidup selepas kegagalan itu ? Kegagalan dalam pepriksaan sama ada kecelakaan ataupun ada rahmat di sebaliknya bergantung pada pemikiran individu itu sendiri. Apabila kita dapat mengawal pemikiran dengan menjadikan kegagalan sebagai pendorong dan penguat semangat untuk bangkit membetulkan kesilapan lalu dan berusaha sehingga memperoleh kejayaan yang cemerlang, kegagalan itu menjadi rahmat kepada kita.


Sebaliknya menurut Napleon Hill (1999), apabila seseorang menerima kegagalan sebagai petanda suatu kelemahan yang ada pada dirinya, dan memikirkannya sehingga mewujudkan perasaan rendah diri dan mula menjauhkan diri daripada rakan-rakannya, kegagalan itu menjadi suatu kecelakaan dalam hidupnya. Bagaimana dengan kita? Apabila ditakdirkan kita gagal dalam peperiksaan adakah kita akan bangun semula memperbaiki kelemahan yang ada pada diri kita dan berusaha lebih gigih supaya tidak mengulangi kegagalan bahkan bertekad menghasilkan keputusan yang lebih baik ataupun kegagalan melemahkan dan mematahkan semangat kita untuk mencuba? Jawapannya terletak pada tangan kita kerana kitalah yang memimpin diri sendiri bukannya orang lain.




0 comments: