BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 1, 2018

Terakhir Kali

BAHAGIAN 1:
Memandang ke arah hujan yang turun seperti menjenguk kembali kenangan yang lepas. 11 bulan yang lepas.
Kedua-dua belah kaki aku lap perlahan-lahan dengan tisu basah hingga ke celah2 jari kaki. Sejuk. Iya, tersangat sejuk saat aku menyentuh kedua-dua kakinya tadi. Aku bertanya kepadanya jika dia hendak mandi. Dijawab dengan gelengan kepala. Sejuk katanya. Semalam pun tak mandi. Hari ini pun tak mandi. Dia meminta dilapkan kaki dengan air panas. Aku pelik dengan permintaannya. Aku ambil air suam dan lap kakinya dengan tuala. Dia sekali lagi mengeleng. Mahu kakinya dituam dengan air panas. Bukan air suam.
Akur dengan permintaannya yang pelik segera aku ke dapur dan kembali dengan air panas. Tanganku laju2 meletakkan tuala yang direndam dengan air panas ke kakinya. 1 saat cukup, tuala menjadi sejuk. Iya sejuk! Bukan suam. Sejuk terus seperti terkena hawa peti sejuk. Hati aku mula tidak tenteram. Fikiranku mula berfikir bukan-bukan. Mahu sahaja aku WhatsApp semua kakak-kakak,abang dan adik untuk segera pulang. Ibu dan suami pergi ke pasar untuk membeli barang dapur.
Dua, tiga kali aku berulang alik ke dapur untuk menukar air panas dan dituam ke kakinya. Tiba-tiba anak kecilku merengek. Bosan barangkali ditinggalkan seorang di depan tv. Nasib baik kakaknya mengikut suami ke pasar juga.
Namun aku masih meneruskan kerjaku. Risau jika kakinya masih kesejukan. Dia segera menyuruhku berhenti dan pergi pada anak kecilku. Mahu susu barangkali.
BAHAGIAN 2:
Ibu meluru pantas ke dalam bilik. Aku terkejut dan terus bergegas mengikutinya dari belakang. Bimbang kerana dari air mukanya seperti Ibu hendak menangis. Iya, benar sangkaanku. Ibu menangis diam-diam tidak mahu Ayah mendengarinya. Tidak mahu apa-apa membimbangi dan merungsingkan Ayah. Aku hanya diam mendengar luahan hati Ibu. Segalanya terluah. Namun, hatiku yakin bukan sepenuhnya yang terluah. Perbualan kami terhenti bila Ayah memanggil Ibu. Aku segera mendapatkan suami untuk memberitahunya mungkin aku perlu berada di kampung buat sementara waktu sehingga keadaan Ayah stabil. Perancangannya kami pulang hari itu juga ke Terengganu. Kerana esok, hari bekerja suami. Suamiku bersetuju dan memberi keizinan. Memahami situasi yang berlaku. Dia juga bimbang melihat keadaan kedua-dua kaki Ayah yang bengkak. Ibu juga perlukan bantuan semestinya. Sekurang-kurangnya tempat untuk mengadu dan meluahkan perasaan yang terpendam.
Petang Jumaat yang dingin. Hujan rintik-rintik di luar. Aku memandang Ayah yang sedang solat Asar di sudut ruang katil kecilnya. Melihatnya dari belakang aku menyedari penyusutan berat badan yang ketara padanya. Bacaan Fatihahnya sekali sekala terhenti dengan tangisan dan esakan kecil. Air mataku yang tadi bergenang mengalir laju.
Sekali lagi Ayah mengaduh kesakitan apabila beralih dari kerusi roda ke bucu katil. Katanya, sakit mencucuk-cucuk. Aku dan Ibu saling berpandangan. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ubat klinik pagi tadi sudah ditelan namun sakitnya masih tidak hilang. Ibu mencadangkan Ayah dibawa ke hospital. Ayah menggeleng tidak mahu. Aku cuba memujuknya bila Ibu tidak berjaya. Ayah menggelengkan kepala. Tidak mahu menyusahkan anak2 katanya. Berapa kali ayat itu diulang-ulangnya apabila Ibu menyuarakan hasratnya untuk menelefon Abang.
BAHAGIAN 3:
Aku seperti mendengar Ayahku menyuruh kami menelefon Abang untuk pulang. Aku bertanya kembali kepadanya.
"Nak Abang balik ke?" Ayah hanya mengangguk sambil berbaring membelakangi diriku.

Aku menelefon Abang dan memberikan telefon tersebut untuk Ibu meneruskan bicara. Ayah masih tidak mahu ke hospital. Entah apa yang bermain di fikirannya. Abang memberikan kata putus akan membawa Ayah ke hospital apabila pulang keesokan harinya.
Petang Jumaat semakin menghilang. Hujan masih rintik-rintik di luar. Si kecil masih aku riba. Kakaknya bermain2 dengan suamiku disebelah. Perbualanku dengan suami terhenti tatkala melihat Ayah perlahan-lahan bangun dari perbaringan dan menurunkan kedua-dua belah kakinya perlahan-lahan. Sekali-sekala bibirnya mengaduh kesakitan yang amat. Terlihat dengan jelas pada kerutan dahinya.
Ayah memandang ke arah luar melalui pintu sliding tepi katilnya. Dia menyuarakan hasratnya untuk ke hospital swasta. Tidak mahu ke hospital kerajaan. Aku memujuknya ke hospital kerajaan kerana rawatannya lagi details dan rekod perubatan Ayah sudah ada dengan mereka. Ayah mula bercerita keinginannya mahu rawatan yang selesa. Dulu penat bekerja keras, sekarang mahu bersara dengan selesa. Tak kisah tentang duit asalkan dapat rawatan yang selesa. Hospital kerajaan berkongsi dengan ramai orang dalam satu bilik. Hospital swasta seorang satu bilik. Ada tandas sendiri. Tidak perlu menunggu lama untuk ke tandas. Katanya lagi. Meluahkan rasa yang terbuku di hati. Tiba-tiba Ayah menangis. Suami terus mengambil anak di ribaan dan menyuruh aku pergi pada Ayah.
Aku terus meluru ke katil Ayah dan memeluknya erat. Masih terngiang-ngiang katanya pada kami.
"Ayah tak nak susahkan siapa-siapa. Ayah tak nak susahkan anak-anak. Cuma nak habiskan sisa-sisa hidup dengan tenang.." ujarnya dalam esakan dan air mata. Aku memeluk Ayah erat. Kami berdua menangis teresak-esak. Dalam linangan air mata aku memberitahu Ayah. 
"Okey, Ayah. Jom kita pergi ke hospital yang Ayah nak. Jom kami bawa Ayah.."

Aku memberitahu Ibu tentang keputusan Ayah dan menceritakan apa yang berlaku tadi. Sekali lagi Ibu menangis dan kami bersiap-siap untuk ke hospital yang Ayah mahu.
Jumaat siang melabuhkan tirai. Siang diganti malam. Maghrib tiba. Ayah meminta baju sejuk untuk dipakai. Kesejukan dapat dilihat dari tubuhnya yang terketar-ketar memelukkan diri dengan kedua belah tangan. Kopiah dipakai untuk menunaikan solat Maghrib di atas kerusi roda miliknya.
BAHAGIAN TERAKHIR KALI:
Penantian adalah satu penyeksaan. Aku menemani Ayah di lobi hospital sementara suami dan Ibu ke kaunter bil. Kasihan Ayah, terpaksa menahan kesakitan dalam kesejukan. Pihak hospital swasta tidak dapat menerima Ayah kerana keadaannya yang sangat kritikal. Doktor yang bertugas terus menasihati dan meminta kami menghantar Ayah ke unit kecemasan hospital besar.
Aku memandang sayu wajah tua Ayah. Niatnya untuk berada di hospital swasta tidak kesampaian. Aku memegang tangan Ayah yang menggigil kesejukan. Cuba memberi sedikit haba di tangannya. Bibirnya tidak lekang berselawat dan berzikir. Aku kagum dengan kesabaran yang ada pada Ayah. Semua mata memandang ke arah kami. Simpati dengan keadaan kami. Salah seorang staff mendekatiku dan cuba berbual-bual sementara kami menunggu urusan bil selesai. Namun, pandangan dan fikiranku hanya tertumpu pada Ayah. Hati kecil aku tahu perkara yang besar bakal berlaku. Cuma aku terlalu takut untuk memberitahu pada diriku sendiri. Kami seperti sudah bersedia dengan apa yang bakal berlaku. Berpura-pura tiada apa-apa yang akan terjadi, itu lebih baik.
Suami membantu Ayah masuk kembali ke dalam kereta. Kami menuju ke unit kecemasan hospital besar. Ayah masih mengeluh kesakitan, cuma kelihatan sedikit tenang berbanding ketika mula-mula menuju ke hospital swasta tadi. Redha dengan apa yang berlaku katanya. Pasti ada hikmah apa yang terjadi. Perjalanan kami tak sunyi dengan celoteh anakku yang sulung. Aku cuba tersenyum walaupun air mata sentiasa bergenang sejak tadi lagi.
Staf hospital membantu Ayah turun dari kereta. Aku yang masih mengendong anak kecilku dalam carrier hanya mampu memandang dan menghantar Ayahku sehingga luar pintu Unit Kecemasan sahaja. Tidak dibenarkan masuk. Hanya Ibu dan suami sahaja. Dengan 2 anak kecil di sisi. Lagilah tidak dibenarkan masuk. Sedih dan pilu. Hati mula tenang kerana tahu Ayah pasti dirawat dengan baik di sini. Cuma malam itu aku tidak tahu, itulah terakhir kali aku melihat wajah Ayah. Itulah terakhir kali aku memegang tangan Ayah. Itukah terakhir kali aku bercakap dengan Ayah.
Ayah menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, lewat petang menghampiri waktu Maghrib. Aku masih ingat saat aku tiba di katilnya, tubuhnya sudah dibaluti sepenuhnya. Disiapkan oleh pihak hospital untuk dibawa pulang ke rumah kami. Cuma aku dan jasadnya yang kaku. Semua ahli keluarga termasuk Ibu berada di luar tabir. Seperti memberi ruang buat diriku. Satu-satunya anak Ayah yang ada di situ. Abang, Kakak2 dan Adik dalam perjalanan pulang. Hajat Ayah untuk tidak menyusahkan anak-anak seperti yang diingini. Ayah hanya mahu ditemani Ibu walaupun pada saat2 akhir nafasnya. Sayang dan setianya Ayah pada Ibu yang satu. Sentiasa bersama Ayah tidak kira waktu susah mahupun senang. Hujan atau panas. Sakit mahupun sihat.
Seperti merasai rohnya masih ada di situ, mungkin juga melayan perasaanku yang terlampau sedih. Aku mengucapkan janjiku pada Ayah buat kali terakhir. Janji seorang anak perempuan pada Ayahnya buat terakhir kali. Semoga dipermudahkan urusan Ayah untuk memasuki syurga Allah. Ameen.
Al-Fatihah buat Ayahanda Wan Rahim.
TAMAT.
- Wan Adda, 22 Janvier 2017 (Dimanche), 18:20pm
Notakaki:
Saya siapkan cerpen Terakhir Kali ini untuk saya simpan sebagai memori supaya saya tidak lupa kenangan terakhir saya dan Ayah serta janji (biarlah rahsia) yang saya buat pada Ayah. Semoga kisah ini menjadi iktibar - don't take for granted, masa yang diberikan Allah pada kita untuk kita luangkan bersama insan2 yang kita sayang.