BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, May 31, 2009

Kekeliruan Remaja?

Masalah tekanan atau stress sering dialami oleh golongan muda mahupun tua. Stress yang paling teruk pernah dialami oleh saya ialah ketika di sekolah menengah. Mungkin tidak ramai ibu bapa yang tahu bahawa anak-anak terutama remaja sangat mudah terjurus kepada masalah juvana terutama remaja lelaki. Mujurlah se ‘stress-stress’ saya pun saya masih lagi dapat berfikir dengan waras. Alhamdulillah dengan didikan ayahanda yang sangat tegas dan didikan agama dari bonda tercinta menjadikan diri saya sekarang. Sejujurnya pada awal remaja (sekolah rendah), saya tersangatlah nakal sehingga tengkingan dan jeritan maut, libasan rotan sudah menjadi perkara biasa di awal darjah 1( ingat lagi ayahanda berkata..umur 6 tahun dah boleh kena rotan). Saya pernah terjun tingkap bilik untuk cuba lari dari rumah (pergi umah atuk depan rumah saja). Mungkin itulah yang dialami oleh remaja-remaja masa kini terutama yang tinggal di bandar dan tidak pernah mengalami kesusahan dan keperitan hidup. Bila ada masalah sedikit terus pergi ke tempat-tempat hiburan. Mencuba perkara-perkara baru. Kalau perkara baru yang positif tidak mengapa, ini tidak. Hasilnya, kita boleh lihat remaja-remaja sekarang sering dilihat merokok, berseronok di pusat-pusat hiburan (clubbing), minum (alcoholic drinks), terlibat dengan drugs dan banyak lagi. Ibu bapa sememangnya harus berwaspada dengan anak-anak yang berada di institusi pengajian tinggi. Lagi jauh mereka dari ibu bapa lagi seronoklah mereka. Pulang ke rumah depan ibu bapa, pijak semut pun tak mati.



Jiwa remaja sememangnya sentiasa penuh dengan duka dan lara. Makin ditekan, makin ditolak. Makin dirapati, makin dijauhi. Makin disayangi, makin dibenci. Pada siapa harus kita menuding jari? Kebanyakan ibu bapa kadang-kadang tak mengerti. Pada mereka, anak-anak tak kan faham masalah mereka. Kadang-kadang mereka ingat mereka faham dengan masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka tapi sebenarnya langsung tidak. Siapa yang menderita? Anak-anak juga. Ada ibu bapa yang tak mengerti. Salahkan guru di sekolah. Tidak pandai mengajar anak-anak mereka. Haruslah ingat di mana mereka sebelum mereka ke sekolah kalau bukan di rumah? Anak-anak juga kenalah ingat dan sentiasa ingat. Kadang-kadang ayah dan ibu bukan sengaja untuk melupakan kita. Hanya sibuk untuk mencari rezeki. Buat siapa lagi kalau bukan untuk kita. Cubalah kita hargai dan fahami apa maksud mencari rezeki kerana kita juga bakal menjadi dewasa dan memasuki alam pekerjaan seterusnya berkeluarga dan menjadi ibu bapa. Apa yang kita lakukan pada hari ini akan dilakukan oleh anak-anak kita kelak. Dunia ini sememangnya ibarat roda yang berpusing. Siapa yang berada di atas akan berada di bawah dan yang di bawah akan berada di atas.



Pergolakan jiwa, kekeliruan dalam kehidupan dan tekanan perasaan merupakan perkara biasa yang akan dirasai oleh golongan remaja. Cara penyelesaiannya terserah pada diri sendiri. Jika ada yang bernasib baik, adalah insan-insan yang baik hati turut sama menolong. Yang tidak bernasib baik pula terjerumus dengan perkara-perkara negatif yang boleh membawa kepada kehancuran masa depan dan keselesaan yang hanya sementara. Cubalah yakin pada diri sendiri bukannya hanya mendengar suara hati yang kadang-kadang tidak membawa erti. Mungkin ada yang pernah berkata, waktu muda waktu untuk enjoy, bila dah tua nanti barulah buat ibadah. Ceteknya pemikiran insan yang pernah melafazkan kata-kata ini. Jika engkau cuba untuk membunuh diri sekalipun dan ALLAH mengatakan bahawa ajalmu belum tiba lagi maka nyawa itu masih lagi di badanmu. Namun jika engkau sukakan kehidupan dan tidak mahu mati maka itu juga tidak boleh ditentukan oleh dirimu kerana nyawa itu milik ALLAH. Boleh jadi hari ini, saat ini kita didatangi ajal walaupun diri masih lagi tidak bersedia. Oleh itu, buatlah ibadah seolah-olah esok sudah tiada dan bekerjalah bersungguh-sungguh seolah-olah kita hidup untuk selama-lamanya Tidakkah engkau mengerti bahawa maut itu boleh jadi datangnya bila-bila masa sahaja.




Islam bukan sahaja terletak pada IC tetapi hati dan nurani. Cubalah mendekati dan melaksanakan ibadah yang wajib dibuat setiap hari. Buat keluarga dan sahabat handai, kalian juga cubalah mengerti. Bukan hanya tahu memarahi dan menyakiti. Setiap yang bernyawa mempunyai hati dan perasaan. Apa salahnya kita saling memaafkan. Siapalah kita untuk mengadili sebuah kehidupan kerana itu hak peribadi dan ALLAH sahaja yang berhak mengadilinya. Menasihati dan mengingati boleh, memaksa jangan sekali. Remaja yang bijak adalah remaja yang memilih ALLAH sebagai cara penyelesaiannya. Pabila datang marahnya, dia akan mengambil wuduk dan melakukan solat sunat. Solat lima waktunya dijaga dengan baik supaya dirinya diajar untuk menepati waktu dan lebih berdisiplin. Bacaan al-Quran dijadikan amalan seharian untuk peringatan dan panduan dalam kehidupan sehari-harian. Ibadah sunat dilakukan buat mengisi kekosongan supaya diri tahan dengan dugaan dan cabaran yang kadang-kadang tak jemu-jemu bertandang.



Susahnya hendak melakukan kebaikan dan senangnya melakukan kejahatan. Susah-susah dahulu senang-senang kemudian. Hidup ini hanya sekali. Selepas hidup pasti datangnya mati. Percayalah adanya neraka dan syurga. Dunia hanyalah transit sementara. Saya bukanlah orang yang bijak pandai atau cuba untuk memandai-mandai. Belajar itu sudah menjadi keutamaan dalam hidup saya. Jika ada yang salah maka tegur-tegurlah. Inilah saya seadanya. Seorang insan yang bergelar manusia. Kadang-kadang sentiasa lalai dan lupa. Terima kasih untuk segalanya dan mohon maaf andai ada yang terkasar bahasa. Salam.



1 comments:

Anonymous said...

aku masih lagi keliru